Pages

Nov 28, 2010

Mama Pergi Dalam Dakapan Ku

Diari 23 syawal,bersamaan 23 oktober 2008,khamis jam 8.29 malam

Bukan ingin untuk berkongsi kesedihan, tapi ambillah iktibar..

Aku masih teringat saat melihat mama diambang maut saat malaikat datang menjemput. Mataku bertentangan dengan mata mama. Hanya aku yang berada di hospital menemankan mama. Ya Allah diluar dugaan ku untuk menjangka bahawa mama akan pergi meninggalkan aku pada malam itu. Dalam dakapanku. Air mataku tidak mengalir walau sedikit, terkejut dan tidak menyangka aku akan kehilangan mama. Berdasarkan laporan doktor perubatan yang melaporkan bahawa mama semakin sembuh, tapi kuasa Allah swt lagi hebat...

Tapi...


Hari itu, seperti biasa aku berganti dengan mummy untuk menjaga mama. Shif aku waktu siang dari pukul 12 tengahari sehingga 11 malam aku akan menjaga mama di hospital. Hari ini adalah hari kesepuluh aku tidak hadir ke kuliah. Penerbangan juga dibatalkan ekoran rasa cinta dengan keluarga untuk membantu meringankan beban mummy. Tambahan pula, adik perempuan ku akan menduduki peperiksaan SPM saban hari lagi. Berkorban apa sahaja, alang-alang aku masih berada dikampung halaman, biarlah aku membantu mummy dan adik untuk meringankan beban.

Pada waktu melawat, seperti biasa ramailah keluarga yang akan melawat. Tapi mama hanya mampu terbaring tanpa kata hanya sesekali laungan zikir yang aku dengar..

Azan berkumandang, aku akan memberitahu kepada mama, waktu solat telah masuk..hanya itu yang aku mampu, untuk memapahnya aku tidak terdaya..melihat diri mama yang umpama mayat bernyawa banyak suntikan jarum di badannya..seolah-olah koma..ya Allah, aku berdoa kau mengetahui keadaan mama ku ini, bagaimana hendak dia menunaikan kewajipan kepadaMu..ampunilah dosa mama. Aku teringat kepada pesan ustazah ku, apabila pesakit koma, azan telah berkemundang beritahulah kepada si pesakit bahawa azan telah berkumandang..dia mendengarnya..hanya itu yang aku termampu..

Begitulah rutin kehidupan aku selama 10 hari, berada di hospital bersama mama..

23 syawal..hari khamis
Pada hari ini adalah waktu yang telah ditetapkan mama pergi tinggalkan aku..dalam keadaan bersendirian di hospital menemankan mama, aku melihat bagaimana keadaan sekujur tubuh yang rupanya di ambang maut, aku tidak mempunyai pengalaman melihat manusia di ambang maut, saat roh di tarik keluar dari jasad inilah pengalaman aku. Aku tergamam, aku tidak menangis, tapi aku lihat keadaan mama seolah-olah sedang menahan sakit melihat hidung mama, muka mama.."la ila ha illallah.." berulang-ulang aku membisikkan ditelinga mama, teringat filem drama TV saat manusia nazak itu ungkapan yang luahkan..aku pun membisikkan ke telinga mama, mama menyebut perlahan-lahan..dalam keadaan yang sama mama seolah-olah menahan sakit, melihat reaksi hidung mama...aku menggeletar membisikkan kalimah agung itu...semakin kuat aku membisikkan kalimah agung itu....aku masih tidak mengetahui saat itu adalah malaikat maut datang menjemput mama, dari kaki hingga kepala aku melihat keadaan mama, tiba-tiba....keadaan mama yang menahan sakit itu berhenti, satu helaan nafas mama yang terakhir terhenti, aku tergamam, aku melihat mata mama tertutup..aku panik...aku menjerit memanggil doktor...doktor datang dengan cemas..mengarahkan aku untuk berundur, doktor membuat kejutan elektrik yang selalau aku lihat dalam drama ER, aku melihat menggeletar tidak terkata..selama tiga minit doktor dan pasukannya seolah-olah menyelamatkan mama. Aku faham aku bukan bodoh, aku tahu yang tadi mama sudah pergi, saat dalam dakapanku...

Doktor memanggil ku ke biliknya, hanya aku waris yang berada di hospital, doktor memberitahu "Dia telah meninggal dunia..........." saat itu baru aku sedar dengan dunia realiti, aku capai HP manghubungi daddy mammy, kakak yang berada di Shah Alam, tidak sampai 2 minit, ruang hospital penuh dengan sanak saudara...saat melihat daddy anak tunggal mama tiba, mammy melangkah ke wad mama...melihat atuk suami mama melangkah masuk, barulah aku mengalirkan air mata...ya Allah, aku memohon padamu, mama aku tadi telah meninggalkan aku, bertemu dengan mu...engkau terimalah taubatnya....engkau mudahkanlah urusannya...cucurilah rahmat ke atas roh mama....dalam dakapanku, kalimah sebagai agungmu menjadi pilihan.....

Sehingga sekarang, aku bersyukur kerana Allah memberi peluang kepadaku melihat manusia yang akan terpisah antara roh dan jasad, melihat muka mama, hidung mama menahan sakit...buatku berfikir, bagaimana nanti aku meninggal dunia??

Matikan aku dalam keadaan yang Baik...husnul khatimah...!! amin

Mama pergi dalam dakapanku dalam pelukanku dakapan seorang cucu..
Mama adalah ibu kepada ayahku....

al-Fatihah

p/s Saat kematian tidak diketahui, mati itu amat sakit..

Congkak

Congkak

Congkak

Congkak

Bermain congkak umpama kehidupan

Dalam seketika ianya penuh dengan siput

Dalam seketika ianya kosong dengan siput

Silih berganti siput itu mengisi ruang congkak itu

Kiri

Kanan

.......

Dan sentiasa berputar

Sehinggalah ianya habis

(TITIK)

Nov 11, 2010

Allah Maha Mengetahui : Hujan Pun Berhenti : Kuasa Allah s.w.t

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang..
Assalamualaikum..

Sedikit perkongsian..

Hidup penuh dengan nikmat yang begitu tidak terhingga sehingga diri ini kekadang leka dan lalai atas nikmat Allah swt.

Seperti yang dijanjikan pada hari ini aku telah membuat temu janji untuk bertemu saudaraku. Dahulu aku sama-sama pernah menuntut di sebuah pusat pengajian dalam bidang Qiraat. Kami sepakat bertemu pada pukul 3 petang waktu tempatan. InsyaAllah. Saudaraku ini sudah hampir 3 tahun aku tidak bertemu dengannya. Kerana masing-masing telah terpisah semenjak aku tukar tempat pengajian. Dalam kata lain, dia ini adalah teman seperjuangan yang aku sayangi. Aku ditemukan dengannya (ain: bukan nama sebenar) kerana Allah menentukan bahawa aku satu "Usrah" . Usrah inilah yang menjadi aku rapat dengan ain. Sedikit kisah bagaimana aku mengenali ain. Saudara seaqidah ku....

Berbalik kepada hari pertemuan yang dijanjikan. Aku meminta izin dengan abang dan kakak kandung ku untuk pergi menemui ain. Alhamdulillah dapat keizinan dan sedikit wang diberikan untuk keperluan nanti.

Azan zuhur berkumandang, aku sudah siap menyediakan baju.

Pada ketika itulah aku melihat ke langit.."Ya Allah sungguh hitam, aku menjangkakan hujan lebat akan turun pada bila-bila masa sahaja". Hatiku meruntum sedih dan hiba. Hujan pun turun dengan lebatnya yang pada akal ku tidak akan berhenti sehingga pukul 5 petang nanti. Fikiranku ligat berpusing memikirkan saudara ku ain yang ingin ku temui setelah berapa tahun tidak bertemu. Sesungguhnya demi Allah aku ingin bertemunya kerana aku menyayanginya, merinduinya, ingin melihat wajahnya, dan paling penting kerana ikatan aqidah yang terbina atas dasar Islam ini membuat hatiku merinduinya.

Tidak semena-mena air mataku menitis keluar..

Ya Allah, sekiranya hujan ini terus lebat membasahi bumi, bagaimana aku harus keluar menyeberangi jalan dan menuruni bukit untuk mengambil bas bertemu dengan ain.. ??

Aku cepat-cepat menunaikan solat zuhur. Usai solat zuhur aku meminta berharap bergantung memohon kepada Allah swt supaya hujan yang lebat ini berhenti buat seketika. Jam sudah menunjukkan pukul 1.43 minit petang. Jiwa dan ragaku aku serahkan agar Allah kabulkan permintaan ku. Aku mohon, biarlah hujan berhenti seketika cukup untuk aku menaiki bas dan bertemu dengan ain. Ya Allah, aku memohon kepadaMu.

2.15 petang, hujan masih lagi membasahi bumi Allah ini, hatiku semakin gundah. Pengharapan dan pergantungan kepada Allah aku minta tanpa putus-putus. Ya Allah aku ingin bertemu dengan saudaraku mudahkan lah aku. Itu sahaja perkataan yang bermain di bibirku. Sambil melihat ke langit..

Semakin lebat pada pekiraanku.....Semakin lebat hujan yang turun semakin kuat aku memohon kepada Allah swt......

Tiba-tiba..

Dengan kekuasaan Allah swt hujan yang lebat telah berhenti dengan tiba-tiba pada pukul 2.32 minit petang. Dan pada waktu itu juga, hatiku meruntum hiba mengenang diri, siapalah aku dihadapan Allah swt yang maha menyayangi hamba-hambaNya dan mengetahui apa yang diharapkan oleh hambanya. Diri terasa kerdil. Ya Allah...kupanjatkan syukur kehadrat Allah swt. Kekuasaan Mu amat besar dan Kau maha berkuasa. La Hawla Wala Quwwata Illa billah...

Bibirku menguntum senyum...Dengan kehendak Kuasa Allah swt, aku dapat bertemu Ain...

Terima Kasih ya Allah!!

Ya Allah, jadikanlah aku hamba yang sentiasa bersyukur atas nikmatMu..

p/s ;
Mohonlah pada Allah, jangan berhenti berharap pada Allah..

dan sentiasalah ingat bahawa "Bila ALLAH makbulkan doamu, maka DIA menyayangimu, bila DIA lambat makbulkan doamu, maka DIA ingin mengujimu, bila DIA tidak makbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu yang terbaik untukmu. 0leh itu, sentiasalah bersangka baik pada ALLAH..@@"

Salam Mujahadah! Love Ukhwwah!